Hebatnya Keajaiban Nafas Ibu

*credits to Majalah Nona keluaran Mei 2012*

 Ibu ibarat ladang untuk kita menanam benih kebaikan sehingga mampu mendatangkan redha Ilahi. Ini kerana nafas ibu yang membawa setiap dari kita ke pentas dunia. Air susu ibu bagaikan aliran sungai di dalam syurga yang membesarkan kita sehingga mengenal erti kehidupan.

"Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak aku patuhi?" Nabi menjawab, "Ibumu." Orang itu bertanya lagi, "Selepas itu, siapa lagi?" Lalu Nabi menjawab, "Ibumu." Dan orang itu bertanya lagi, "Selepas itu siapa, ya Rasulullah?" Maka Nabi menjawab lagi, "Ibumu." Orang itu bertanya lagi, "Dan selepas itu, siapa ya Rasulullah?" Maka Nabi SAW menjawab, "Ayahmu."
-Petikan dari Hadis Bukhari dan Muslim.

Sesungguhnya, insan yang bergelar ibu lebih mulia dan tinggi darjatnya di sisi Allah SWT. Pengorbanan seorang ibu bermula sejak kita berada di dalam rahimnyaselama sembilan bulan sehinggalah kita dilahirkan. Kemudian kita ditatang pula bagaikan minyak yang penuh. Hakikatnya, tugas itu bukan mudah. Justeru itu, sebagai anak kita diperintahkan agar sentiasa berbuat baik terhadap ibu. Sesungguhnya, setitis air mata ibu tumpah daripada perbuatan anaknya ibarat sebutir peluru yang menebusi dada.

Satu ketika dulu, mungkin kita pernah merungut kerana ibu sering 'membebel' sehingga kita merasakan terkongkong. Benar, adakalanya hati seorang ibu sukar difahami. Nasihat yang dianggap bebelan itulah yang paling berharga untuk kebaikan diri. Kata-katanya juga adalah doa yang sentiasa menyertai setiap langkah dalam hidup anaknya sejak dilahirkan hinggalah ke akhor hayatnya.

Sesungguhnya doa seorang ibu adalah pembuka pintu syurga dan pemudah langkah perjalanan dalam hidup kita. Mungkin seorang ibu pernah tersilap dan terkasar bahasa dengan kita. Mungkin juga, kita pernah berkecil hati dengan kata-katanya. Namun, kita harus sedar bahawa ibu juga manusia biasa.

Islam meletakkan kemuliaan ibu itu lebih tinggi daripada syurga. Bagi anda yang masih ada ibu, kasihilah dia selagi hayatnya ada. Bagi anda yang ibunya telah tiada, hadiahkanlah amal jariah serta jadilah insan yang berguna di dunia dan akhirat. -AMY MOHD

No comments:

Post a Comment